masdiyana's blog. welcome earthlings!

LCD Text Generator at TextSpace.net

Saturday, April 28, 2012

Sifat-sifat Persahabatan dalam Islam

Islam telah memberikan definasi persahabatan yang amat berlainan daripada cara persahabatan Barat. Islam menyatakan bahawa persahabatan bukanlah atas dasar untuk mendapat keuntungan materi mahupun manfaat daripada satu sama lain tetapi persahabatan adalah atas dasar untuk menggapai kejayaan di akhirat dengan meraih keredhaan Allah di dunia ini. Konsep persahabatan sebegini amat penting didalam Islam dan Islam telah menggariskan panduan bagaimana untuk kita meraih dan mengekalkannya.

Cinta kerana Allah – maksudnya ialah kita mesti melakukan sesuatu perkara itu seperti menolong seseorang rakan hanya ikhlas kerana Allah dan untuk mendapatkan keredhaanNya walaupun ianya melanggar kehendak kita sendiri. Sabda Rasullullah SAW: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, orang yang mencintai seseorang hanya kerana Allah dan orang yang tidak suka kembali kepada kekufuran , sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka”. [HR Ahmad]

Pemurah dan Budiman – Islam menggalakkan kita bermurah hati antara satu sama lain. Bermurah hati boleh jadi dari segi harta, barang-barang materi ataupun masa, ilmu, nasihat dan senyuman. Ini akan merapatkan lagi hubungan di antara satu sama lain. Malangnya, adalah sesuatu yang sukar bagi umat Islam yang terlalu terpengaruh dengan cara hidup Barat untuk memahami konsep ini. Mereka amat terpengaruh dengan konsep ala barat yang mementingkan diri sendiri(individualistik) dan tidak bertanggung-jawab terhadap orang lain. Pemberian tanpa mengharapkan balasan ataupun manfaat, walaupun dikalangan sahabat sendiri adalah satu konsep yang amat asing di dalam pemahaman Barat. Namun Islam menggalakkan kita untuk memberikan harta, tenaga atau masa kita tanpa mengharapkan apa-apa sekali pun selain daripada keredhaan dan kasih-sayang Allah. Dari Abi Hamzah Anas bin Malik Radhiallahu anhu dari Nabi SAW sabdanya: "Tidak beriman salah seorang di antara kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya." [HR Bukhari dan Muslim]

Memberi hadiah adalah suatu tabiat yang digalakkan oleh Rasullullah SAW dan baginda menyatakan bahawa ianya akan mengeratkan lagi hubungan di antara dua pihak. Sabda Rasulullah SAW: “Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian saling mencintai." [HR al-Bukhari, al-Baihaqi, Abu Ya’la]

Berbudi-bahasa, tolong-menolong di antara satu sama lain dan bertolak-ansur adalah ciri-ciri keperibadian Islam yang harus menjadi kebiasaan di kalangan umat Islam. Kita sepatutnya menjadi tempat mengadu dikala sedih dan juga tempat untuk berkongsi kegembiraan. Apabila seseorang itu mendapat kebaikan dan berasa seronok, alangkah bahagianya jika dia dapat menyambut kegembiraannya itu dengan rakannya yang amat dikasihi.

Menyembunyikan keaiban rakan – adalah amat penting bagi kita menyembunyikan keaiban dan kesilapan rakan-rakan kita. Ini tidak bererti bahawa kita tidak mempedulikan mereka tetapi wajiblah kita memberikan nasihat yang baik di antara satu sama lain. Namun, jangan pula kita memaparkan kesilapan atau keburukan mereka kepada orang ramai. Ini akan memalukan mereka dan menyedihkan hati mereka. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang merungkaikan dari seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.” [HR Muslim]

Larangan untuk mengumpat, cemburu, khianat dan dengki – persahabatan di antara Muslim adalah berlandaskan amanah dan kepercayaan. Seorang Muslim tidak boleh mengkhianati atau mengumpat rakannya. Persahabatan Islam yang berlandaskan amanah dan saling hormat-menghormati akan merapat dan mengukuhkan lagi ikatan yang terjalin. Manakala persahabatan cara Barat hanya akan mengakibatkan kegelisahan dan kecurigaan kerana seseorang itu akan sentiasa risau sama ada dia akan di khianati oleh sahabatnya ataupun sebaliknya.

Firman Allah SWT: “ Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing(mengumpat) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." [TMQ Al Hujaraat(49): 12]

Islam juga melarang perasaan dengki dan khianat di antara rakan-rakan.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.” [HR Bukhari & Muslim]



SEMOGA ALLAH MERAHMATI KITA :)

Friday, April 27, 2012

lapangkan hatimu dengan taubat


Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benarberiman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita?
Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa?
Jika terasa menyesal, itu petanda Iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira...
Itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan.
Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai 'galang-ganti' kepada kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?
Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di Akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah S.A.W bersabda : "Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : "Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu". Aku mengucap : "Amin". "Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga". Aku berkata : "Amin". Jibril berkata lagi : "Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya". Lalu aku mengucapkan : "Amin". [HR. Ahmad]
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di Akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke Neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah.
Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini... kerana menangis di Akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.jum sama2 taubat untuk mndapat pengampunan daripada-NYA :)

SEMOGA ALLAH MERAHMATI KITA :)